BERITA BERITA

«Kembali

KADA Cadang Majukan 600 Hektar Sawah

KOTA BHARU 18 Jun – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bercadang untuk memajukan 600 hektar sawah padi menerusi projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pada tahun ini yang membabitkan peruntukan berjumlah RM15 juta.

                Timbalan Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris berkata, untuk separuh tahun pertama ini, kerajaan telah menyalurkan peruntukan lebih RM5 juta untuk melaksanakan projek tersebut.

                Beliau berkata, peruntukan itu melibatkan penyediaan infrastruktur serta insentif kepada peserta yang terlibat.

                "Setakat ini, sebanyak 438 hektar sawah padi di lima buah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) telah mula melaksanakan projek tersebut sejak ia mula diperkenalkan tiga tahun lalu.

                "Antara PPK yang terlibat ialah PPK Sungai Ketereh, PPK Puteri Saadong, PPK Jaya Peringat, PPK Seri Gunong dan PPK Cherang Rotan dengan penyertaan seramai 927 petani," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

                Nik Roslan berkata, pihaknya turut menyasarkan tambahan 600 hektar setiap tahun bagi mencapai sasaran keluasan 5,000 hektar menjelang tahun 2020.

                Beliau berkata, melalui pelaksanaan projek NKEA itu, ia juga memberi pelbagai manfaat kepada petani selain membantu meningkatkan hasil padi pada setiap musim.

                "Sebelum melaksanakan projek ini, kita menyasarkan hasil padi empat tan metrik bagi sehektar namun selepas mula dilaksanakan, kita menjangkakan peningkatan hasil sehingga 6.5 tan metrik untuk sehektar.

                " Pelaksanaan projek ini juga turut melibatkan pembangunan infrastruktur pengairan dan saliran serta penyediaan insentif kepada peladang dan pengurusan," katanya.

                Tambah beliau, pihaknya juga meminta kerjasama dariapda petani-petani kawasan yang terlibat supaya turut serta membantu menjayakan projek NKEA itu.

                "Saya berharap, petani lebih memahami pelaksanaan projek ini supaya segala manfaat serta faedah dapat dikongsi bersama.

                "Ini adalah usaha yang amat baik daripada kerajaan dalam mewujudkan sektor tanaman padi komersial dan berdaya saing,"katanya.   

 

Sumber : Utusan Malaysia 19/06/2014