BERITA BERITA

«Kembali

KADA Harap Kerajaan Negeri Peka

KOTA BHARU – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) gesa kerajaan negeri tidak meluluskan permohonan untuk pecah tanah lot sawah padi untuk tujuan pembangunan secara berleluasa kerana bimbang memberi kesan besar kepada aktiviti penanaman makanan utama itu.

Pengerusinya, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, kerajaan negeri kena lebih serius dalam memastikan kawasan geran tanah yang dikhaskan untuk penanaman padi tidak dibenarkan untuk diubah taraf.

Menurutnya, tindakan tersebut merupakan ancaman paling besar kerana ia akan menjejaskan rutin petani yang sebelum ini sudah terhenti beberapa tahun kerana dihimpit beberapa masalah lain.

"Kita kena kekalkan kawasan padi, ancaman paling besar adalah pembangunan malah ada pemaju yang buat perumahan di tengah-tengah  tanah padi, itu kerajaan negeri perlu bertanggungjawab.

"Sepatutnya mereka kena lihat dan kaji dahulu, jika lokasi tersebut tempat tanah padi, jangan benarkan ada pembangunan. Hakikatnya, lepas satu persatu tanah tersebut dibangunkan tanpa fikirkan keperluan masa depan," katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas berucap pada majlis perjumpaan pagi bersama warga Kada, di ibu pejabatnya dekat Lundang, semalam.

Alwi berkata, situasi tersebut hanya menyusahkan petani kerana ia akan mengganggu pengeluaran bekalan beras negara ekoran tanah sawah yang ada hanya dalam skala kecil dan terhad.

"Pembangunan ini makin besar contohnya di Tunjong dan beberapa kawasan lain, sawah padi makin kecil kita boleh tengok di mana-mana, akhirnya tanaman tidak dapat dilakukan.

"Jual tanah memang pemilik akan dapat pulangan tetapi yang untung sebenarnya adalah pemaju. Kuasa di bawah kerajaan negeri, peranan mereka akan penting dalam menjamin aktiviti penanaman padi terus maju.

Katanya, perkara tersebut boleh dihalang di mana pihak berkenaan tidak terlalu rakus mengejar pembangunan di kawasan yang tidak sepatutnya kerana ia memberi kesan besar buat petani.

Dalam pada itu, Alwi turut mengharapkan Kada akan lebih produktif pada 2014 berbanding dua tahun kebelakangan ini kerana petani tidak dapat menjalankan kegiatan penanaman.

"Kini sudah ramai petani mula usahakan tanaman padi Kada harap pendapatan mereka akan bertambah dalam keadaan sekarang kos sara hidup makin tinggi," katanya.
 
Sumber : Akhbar Sinar Harian (07/01/2014)