BERITA BERITA

«Kembali

KADA Terus Perihatin Bantu Petani

Hampir 60 petani di kawasan Kampung Berangan dan Kampung Lepah di Pasir Puteh mampu menarik nafas lega apabila kerugian yang ditanggung lebih RM2 juta akibat serangan tikus di kawasan tanaman padi yang diusahakan mendapat perhatian daripada Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Bagi meringankan beban yang ditanggung golongan petani terbabit, KADA telah meluluskan bantuan khusus agihan semula benih padi setelah tanaman yang diusahakan di kawasan seluas 54 hektar selepas musnah akibat serangan tikus baru-baru ini.

Wakil petani, Nik Yahya Nik Mustafa berkata, sepanjang tahun ini kesemua petani di dua kawasan terbabit iaitu 35 orang di Kampung Berangan dan 24 orang di Kampung Lepah, berputih mata apabila gagal menikmati hasil tanaman yang diusahakan sepanjang dua musim lalu.

Katanya, selain tidak mendapat sebarang hasil petani juga terpaksa menanggung bebanan hutang bagi perbelanjaan pengurusan bendang, membeli benih padi, bekalan racun perosak, membajak dan proses penanaman semula.

Difahamkan serangan tikus di bendang itu berpunca daripada beberapa faktor termasuk kawasan semak di sepanjang tali air yang tidak dikendalikan dengan sempurna sehingga menjadi tempat pembiakan tikus dan penanaman padi tidak menyeluruh akibat masalah bekalan air.

Prihatin dengan nasib yang menimpa petani, Pengerusi KADA, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, pihaknya juga bersetuju meluluskan bantuan benih padi dan membiayai sebahagian kos racun bagi meringankan bebanan petani yang menanggung kerugian akibat gagal menuai hasil sejak beberapa musim lalu.

"Sebelum ini, KADA telah mengagihkan racun tikus kepada petani dalam kawasan operasinya, namun dilihat tidak mencukupi apabila petani di luar kawasan projek tidak menerimanya.

"KADA akan terus membantu dengan mengambil kira rintihan dan keperluan petani yang memohon bantuan benih padi disalurkan kepada mereka bagi tujuan penanaman semula. "Bantuan itu adalah satu keperluan memandangkan kesemua petani terbabit dibebani hutang dengan syarikat pembekal benih padi dari Kedah," katanya.

Beliau yang turut melawat kawasan tersebut bersama Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Zulkifle Ali bagi meninjau kesan serangan tikus di bendang tersebut berkata, pengagihan benih itu akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi membolehkan petani terbabit melakukan tanaman semula secara serentak.

Sehubungan itu beliau berkata, KADA akan berusaha mendapatkan bantuan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi meringankan beban petani terbabit untuk mengerjakan tanaman padi musim depan.

Selain masalah tikus, petani di kawasan seliaan KADA juga mengahadapi masalah bekalan air sehingga menyebabkan mereka tidak dapat meneruskan kerja-kerja penanaman padi malah disebabkan masalah bekalan air juga menyebabkan KADA kerugian hampir mencecah RM300 juta.

Justeru, KADA melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga telah menyediakan peruntukkan sebanyak RM4 juta setahun bagi membersihkan lumpur di Sungai Kelantan berhampiran rumah pam Kemubu di Kota Bharu.

Hakisan lumpur dari kawasan Ulu Kelantan itu dipercayai berpunca daripada pembukaan tanah tidak dirancang dengan teliti terutama pada musim tengkujuh.

Menurut Md Alwi, sekiranya ia tidak dibersihkan, lumpur akan menghalang aliran air ke pam berkenaan yang akan menyebabkan KADA tidak boleh mengepam air ke sawah akibatnya petani tidak dapat meneruskan kerja-kerja penanaman padi.

Namun KADA masih menghadapi kekangan mengalirkan air ke sawah secara menyeluruh terutama sepanjang pertengahan tahun ini kerana air Sungai Kelantan di paras cetek dan gagal disedut oleh pam.

"Ini bergantung kepada kapasiti dan ketinggian air sungai dan KADA tidak mempunyai empangan khusus bagi tujuan ini kecuali mengharapkan bantuan Kerajaan Persekutuan membina tandak air yang dijangka siap pertengahan bulan depan," katanya.

Menurutnya, KADA terpaksa membelanjakan sebanyak RM4 juta setiap tahun bagi tujuan pembersihan pintu rumah pam yang sering dipenuhi lumpur dan keladak dipercayai kesan daripada pembalakan tidak terkawal di hulu Sungai Kelantan.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata, penurunan aras sungai dan pencemaran air yang menyebabkan bekalan air ke sawah terjejas sudah dimaklumkan kepada pemimpin negeri.

Beliau berkata, paras air sungai yang sering rendah berikutan aktiviti mengorek pasir yang diluluskan kerajaan negeri Kelantan menyebabkan lebih 18,000 hektar kawasan tanaman padi di Bachok, Kota Bharu dan Pasir Puteh terjejas akibat kekurangan bekalan air.

Katanya kementerian juga akan membina sebuah empangan rendah bernilai RM39 juta di Kampung Kubang Pak Amin, Pasir Mas dekat sini, bagi membantu masalah bekalan air yang dialami petani di Kelantan terutama di kawasan Pasir Mas dan Tumpat pada musim tengkujuh.

"Paras air yang rendah menyebabkan pam tidak boleh menyedut kerana perlu berada pada kedudukan 4.5 meter ke atas. Akhirnya pam tergantung dan sekarang kita sedang selesai isu ini dengan membina empangan kecil bagi menaikkan aras air seterusnya membolehkan pam itu berfungsi dengan kos sebanyak RM39 juta. Kos ini juga terpaksa ditanggung kerajaan," katanya.

Selain itu kerajaan Pusat juga perlu menanggung kos sebanyak RM5 juta bagi setiap musim padi untuk mengorek lumpur di kawasan pam air selepas tercemar akibat kegiatan pembalakan ini tanpa bantuan kerajaan negeri," katanya.

img1    img2