BERITA BERITA

«Kembali

Kerajaan Negeri Diminta Bantu Pesawah

Kota Bharu - Kerajaan negeri digesa untuk menghentikan pemberian kelulusan aktiviti menyedut pasir di beberapa kawasan yang terlibat dengan penanaman padi di negeri ini. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kegiatan menyedut pasir menyebabkan paras air menurun sekali gus menyukarkan pesawah untuk menyedut air keluar dari sungai ketika musim kemarau.

"Kita (Kerajaan Pusat) sudah sediakan bantuan pam untuk pesawah pada musim kemarau, cuma perlukan kerjasama kerajaan negeri untuk menghentikan aktiviti menyedut pasir dan memansuhkan cukai RM10 di kawasan Pasir Mas dan Tumpat. Ia tidak berbaloi memandangkan pam telah disediakan pihak Kerajaan Pusat dan akan disalurkan melalui sungai-sungai dan tali air berdekatan," katanya kepada media di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjung Puri, Dewan Beta, semalam.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis pemberian 300 unit mesin pam mudah alih kepada petani setiap kawasan yang terlibat. Turut hadir Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Datuk Md Alwi Che Ahmad, Pengurus Besar KADA, Ibrahim Mat dan Ketua UMNO Kawasan Kubang Kerian, Datuk Muhammad Abdul Ghani.

Ismail berkata, pemberian pam yang keseluruhannya bernilai RM400,000 itu bertujuan memudahkan pesawah menyelesaikan masalah kekurangan air memandangkan pesawah mempunyai masa tidak kurang dua minggu untuk memastikan padi yang ditanam boleh dituai selepas ini. Beliau berkata, pemberian itu kesan daripada tindakan pesawah yang tidak mengikut jadual biasa tanaman padi iaitu pada bulan Oktober dan November.

"Mereka tidak berani ambil risiko menanam di musim tersebut sebab dikhuatiri banjir, apabila lewat tanam, kita juga tetap berdepan dengan masalah kemarau. Bagaimanapun Insya-ALLAH, dengan penyediaan pam tersebut sedikit sebanyak dapat membantu pesawah daripada mengalami kerugian besar. Selain itu, kita juga berharap dengan penyediaan empangan rendah yang dijadualkan siap September 2015 ini juga akan dapat menyelesaikan masalah petani di musim kemarau sekali gus tidak akan menjejaskan jadual penanaman selepas ini,"katanya.

Menurutnya, empangan rendah yang terletak di Kampung Kasar, Pasir Mas yang menelan belanja RM38 juta itu bakal menyelamatkan hampir 6,125 petani yang terlibat.

 
Sumber : Sinar Harian - 18 Febuari 2014