BERITA BERITA

«Kembali

RM1 JUTA BANGUNKAN PROJEK PRASARANA, JAYAKAN PROJEK NKEA DI BENDANG JAL KECHIK, TUMPAT.

TUMPAT 7 Ogos – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menyediakan peruntukan hampir RM 1 juta untuk membangunkan prasarana bagi menjayakan projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di Bendang Jal Kechik di sini.

Pengerusi KADA, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, kerja-kerja pembangunan infrastruktur tersebut masih giat dilakukan berikutan penambahan beberapa kawasan untuk dilaksanakan projek NKEA.

Beliau berkata, antara prasarana yang disediakan kepada peserta program tersebut adalah penyediaan tali air, parit penyejat, parit buangan dan longkang konkrit untuk tujuan pengaliran air.

"Untuk projek NKEA ini, kita akan menyediakan pelbagai infrastruktur untuk membantu petani yang terlibat bagi mencapai sasaran hasil pengeluaran padi sehingga 6.5 tan sehektar.

"Oleh itu, projek ini akan terus diperluaskan ke setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi memberi manafaat kepada tuan tanah dan pengusaha selain dapat selain dapat menambah bekalan padi negara," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Projek Insentif Projek NKEA di Bendang Jal Kechik, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar KADA, Mohd Rais Mohd Ariffin dan Timbalan Pengurus Besar (P) KADA,  Nik Roslan Idris.

Dalam majlis tersebut, hampir RM300,000 insentif diberikan kepada 325 tuan tanah di Bendang Jal Kechik yang menyertai projek NKEAbagi musim 1/2014.

Md. Alwi berkata, sehingga kini sebanyak 589 hektar sawah padi di enam buah PPK telah melaksanakan projek tersebut sejak diperkenalkan tiga tahun lalu.

"Perlaksanaan projek ini masih tidak mencapai apa yang diinginkan kerana tuan tanah dan pengusaha masih tidak yakin dan tidak mahu memberi kerjasama.

"Walau bagaimanapun, kita berharap lebih ramai lagi tuan tanah serta pengusaha padi dapat menyertai Projek NKEA bagi mencapai sasaran keluasan 5,000 hektar menjelang 2020,"katanya.  

 

Sumber : Utusan Malaysia 08/08/2014