BERITA BERITA

«Kembali

WAWANCARA BERSAMA PENGERUSI KADA

LEMBAGA Kemajuan Pertanian Kemubu atau lebih dikenali KADA, salah sebuah agensi yang begitu sinonim dengan bidang pertanian khususnya penanaman padi. Apakah peranan sebenarnya agensi ini, adakah ia berkait dengan pengeluaran hasil padi kepada negara?

Bagi tujuan itu, Sinar Harian melalui Ketua Biro, Mohd Zailani Abd Rahman dan Rosmiza Kasim menemu bual Pengerusi KADA, Datuk Md Alwi Che Ahmad di kediamannya di Ketereh, baru-baru ini.

Sejarah KADA

Disempurnakan penubuhannya pada 30 Mac 1972 melalui Akta 69, Akta Lembaga Pertanian Kemubu, 1972 dan dilancarkan dengan rasminya oleh Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia pada 2 Mac 1973.

Setelah KADA diwujudkan, Kerajaan Negeri Kelantan pula menyusuli tindakan dengan meluluskan Enakmen Pihak Berkuasa Kemajuan Pertanian Kemubu, 1972 (Enakmen no.2 Tahun 1972 Kelantan) membolehkan Menteri Pertanian dan Perikanan melaksanakan Akta Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, 1972 mulai 1 Ogos 1972.

Kampung Kemubu terletak di tebing Sungai Kelantan, 30 kilometer dari Kota Bharu telah disemadikan namanya dalam lipatan sejarah KADA. Di situlah terbina sebuah rumah pam membekalkan air ke Rancangan Pengairan Kemubu (RPK), rancangan terbesar dalam gugusan rancangan-rancangan pengairan lain yang dipersatukan di bawah kuasa pengendalian KADA. 

Apakah reaksi pertama Datuk apabila dilantik sebagai Pengerusi KADA?

Masa mula-mula mengambil alih KADA, perkara pertama yang saya lihat ialah apakah fungsi sebenar KADA kerana ada yang mempunyai tanggapan yang silap terhadap KADA. Ramai yang beranggapan KADA adalah sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang berfungsi mengeluarkan bekalan padi negara, sebenarnya persepsi itu silap.
Fungsi sebenar KADA adalah membantu pengairan kepada kawasan Kemubu dan sekitarnya untuk membolehkan padi ditanam. Urusan utama kami adalah padi, makanan asas negara.
 
Adakah Datuk akan meneruskan pendekatan yang dibawa oleh Pengerusi terdahulu?

Semasa Tan Sri Annuar Musa ketuai KADA, beliau mewujudkan konsep 'KADA Baloh Negara'. Baloh ini bermaksud sebuah rumah kecil yang dijadikan tempat menyimpan hasil pertanian sebagai sumber bekalan makanan bagi sesebuah keluarga. Sekarang saya meneruskan apa yang telah beliau laksanakan.

Cuma masalah kita adalah bekalan air tidak menentu, berpunca daripada pelbagai faktor termasuk faktor semula jadi dan juga ancaman oleh tindakan manusia. Punca utama kita adalah hanya bergantung kepada satu punca iaitu air Sungai Kelantan. Kita tidak ada sebarang empangan atau punca lain seperti perairan lain. MADA sendiri ada dua empangan iaitu Empangan Muda dan Pedu. Sejak 30 tahun lalu air ini dipam ke tali air berjumlah 1,600 kilometer kemudian dari situ disalirkan  ke parit dan sawah.

Bagaimana masalah air ini boleh berlaku dan ia pastinya menjadi cabaran utama bagi Datuk dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran padi?

Pada mula-mula KADA diwujudkan, kajian yang dijalankan mengatakan air Sungai Kelantan tidak akan surut, parasnya akan berada pada tahap sembilan meter sepanjang masa tetapi dunia telah berubah akibat daripada pemanasan global dan akibat perkara yang tidak dijangka.

Dahulu air sungai ada yang berada pada tahap lima meter, ada masanya dua meter dan ada masa satu meter sahaja. Air sungai menjadi laju dan sekiranya sebelum ini air sungai jernih, sekarang air sudah bercampur dengan lumpur. Itu cabaran yang saya hadapi. Jadi oleh kerana air sungai yang terlalu rendah sejak beberapa tahun akhir-akhir ini untuk membolehkan rumah pam dipam. Tahap air mesti lima meter untuk membolehkan rumah pam dipam. Jika kurang kita tidak boleh pam, sebab rumah pam direka begitu.

Apakah tindakan seterusnya pihak Datuk?

Jadi untuk membolehkan paras lima meter ini, kita cadangkan agar Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri bekerjasama untuk  membina empangan bagi mengatasi krisis bekalan air yang dihadapi petani. Empangan besar akan menenggelamkan tanah manakala empangan rendah untuk mengepam air di Kemubu. Ini langkah sementara, maka kita buat sejak tiga tahun lepas tetapi pelbagai masalah berlaku.

Setakat ini berapa banyak peruntukan telah disalurkan kerajaan dalam membantu mengurangkan masalah bekalan air yang dihadapi oleh petani di kawasan KADA?

Di Pasir Mas, kerajaan telah meluluskan peruntukan membuat empangan rendah kekal yang bernilai RM38 juta. Jadi saya jangka, langkah sementara boleh membantu petani yang sudah tiga tahun tidak menanam padi. Sekarang sudah mula dibina dan kesannya amat besar. Sebelum ini padi ditanam pada keluasan  29,000 hektar tetapi baru ini hanya 18,000 hektar sahaja  tanam kerana masalah air tidak sampai.

Kerajaan Negeri pimpinan PAS mempertikaikan jumlah peruntukan yang didakwa agak besar diterima KADA namun tidak ada perubahan. Apa penjelasan Datuk?

Siapa kata tidak ada perubahan. Bajet KADA sebenarnya bajet mengurus, bayar gaji kakitangan. Bajet pembangunan kita dapat RM30 sehingga RM40 juta setahun. Selebihnya adalah bajet pengurusan, penyelenggaraan. Contohnya, perbelanjaan  buang lumpur sahaja RM6 juta. Enam bulan lepas bayaran bil elektrik RM6 juta. Dulu lagi teruk kerana guna generator. Lagipun baru-baru ini kita agihkan minyak percuma pula kepada rakyat untuk pam air masuk yang berjumlah RM1.2 juta.

Bajet banyak yang disebut adalah subsidi, itu yang beratus juta. Kerajaan Negeri tidak nampak benda begitu. Subsidi dalam bentuk tunai, subsidi harga padi, baja, membajak, menuai, mengapur semua bentuk tunai.

Bagi mereka yang menanam padi, di setiap peringkat ada subsidi iaitu menerima hampir RM1,800 satu hektar diberikan kepada setiap orang mengusahakannya. Kerajaan sediakan subsidi baja, sebelum itu subsidi membajak, RM100 seekar, subsidi racun, jual padi, subsidi harga, subsidi tenggala, subsidi baja, bantuan kapur tanah, subsidi dan merata tanah.

Apakah program yang dibuat KADA dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil padi di negara ini?

Bagi mengatasi masalah tersebut, KADA mewujudkan sistem Mini Estet. Satukan tanah-tanah kecil ini di bawah satu organisasi di bawah pertubuhan peladang atau di bawah program yang dibuat oleh Tan Sri Hussein Ahmad sebelum ini dan diteruskan oleh Tan Sri Annuar Musa.

Program Ladang Merdeka itu kini diteruskan supaya tanah-tanah berkenaan disatukan untuk senang diurus dan tuan tanah akan dibayar mengikut jumlah perkongsian.

Program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) diberi peruntukan untuk memperbaiki prasarana tetapi ia memerlukan persetujuan tuan tanah, tetapi masalahnya di antara tuan tanah dengan pengusaha.

Di bawah NKEA sewa dibayar dengan mahal iaitu RM1,000 seekar. Ia dibayar untuk tempoh lima musim, musim keenam hasil akan lebih. Sekarang purata nasional adalah empat tan seekar dan kita jangka dengan kemudahan prasarana yang lebih baik dengan pembajaan tanah dan pengkapuran tanah hasilnya akan bertambah lapan hingga 10 tan seekar.

Bagaimana dengan sasaran KADA dalam meningkatkan hasil padi?

Dahulu kita sasarkan lima tan metrik sehektar dan sasaran itu sudah pun kita capai. Walaupun tidak semua kawasan mencapai sasaran itu namun secara purata kita sudah mencapai 4.6 tan metrik sehektar. Sekarang kita mahu lapan ke 10 tan sehektar. Malah sudah ada kawasan yang mampu mencapai pengeluaran sehingga 12 tan sehektar. Contohnya, di Bachok ada yang mencapai 12 tan untuk sehektar dan ini bergantung pada kesungguhan dan sikap petani. Sekiranya petani mengamalkan amalan pertanian yang baik saya yakin sasaran itu boleh dicapai. Secara keseluruhannya kita menyasarkan pengeluaran 320,000 tan menjelang 2020.
 
Bagaimana jangkaan KADA terhadap pengeluaran padi musim ini?

Saya menjangkakan untuk musim ini 18,000 sehingga 20,000 hektar sahaja dan tidak mencapai 29,000 hektar keluasan penanaman padi, bagaimanapun KADA akan berusaha. Ini cabaran yang saya hadapi. KADA tidak tanam padi, yang tanam padi adalah petani, KADA adalah agensi kerajaan yang membantu pengairan, pengagihan baja, subsidi dan sebagainya. Kita membantu menambah keinginan menanam padi dan sekiranya mereka rasa rugi kumpulan ini tidak akan melakukannya.

Sumber : Sinar Harian 08/09/2014