KERATAN AKHBAR KERATAN AKHBAR

«Kembali

KADA Perlu Jadi Peneraju Pembangunan Ekonomi, Sosial dan Pertanian.

KOTA BHARU 11 April - Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) perlu kembali berperanan sebagai peneraju pembangunan ekonomi, sosial dan pertanian di negeri ini sebagaimana termaktub dalam Akta KADA 1972.

 

Bekas Pengerusinya, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, badan berkanun itu tidak lagi boleh bertindak seperti sebuah jabatan kerajaan biasa sebaliknya perlu bangkit sebagai sebuah institusi istimewa yang ditubuhkan melalui kelulusan aktanya sendiri di Parlimen.

Md Alwi yang merupakan Pengerusi KADA dari Julai 2013 hingga Mei tahun lalu berkata, fungsi sebenar KADA perlu dikembalikan supaya ia benar-benar menjadi institusi berwibawa demi kepentingan masyarakat.

“Saya pohon kembalikan KADA menjadi institusi yang istimewa kerana (Akta KADA 1972) sendiri menyebut KADA adalah peneraju gerakan pertanian dan sosial di negeri Kelantan.

“Sayangnya sejak akhir-akhir tempoh saya menjadi Pengerusi, KADA hanya menjadi sebuah jabatan biasa,ini tidak betul kerana kalau mengikut akta, KADA adalah institusi tersendiri dan badan bebas yang ditadbir di bawah akta khas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan tugas secara rasmi kepada Pengerusi baharu KADA, Senator Datuk Husam Musa di ibu pejabat KADA di sini hari ini.

Husam baru sahaja dilantik sebagai Pengerusi KADA berkuatkuasa pada 1 Mac lalu selepas lapan bulan isu lantikan bagi menerajui badan berkanun itu menjadi tanda tanya.

Dalam pada itu, Md Alwi berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada Husam dan berpendapat lantikan itu adalah tepat memandangkan Husam adalah pemimpin paling senior mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini sekali gus meneruskan tradisi Barisan Nasional (BN) semasa menjadi Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Husam berkata, beliau sebagai orang baharu berkongsi hasrat yang sama dengan Md Alwi supaya KADA dapat berperanan untuk meninggikan kedudukan ekonomi dan kesejahteraan rakyat khususnya dalam kawasan KADA.

“Saya juga merancang untuk melakukan kunjung hormat ke atas dua bekas Pengerusi KADA iaitu Tan Sri Hussein Ahmad dan Tan Sri Annuar Musa untuk belajar daripada pengalaman mereka supaya sebarang kelemahan dapat dielakkan dan kekuatan diperkukuhkan,” katanya. - UTUSAN ONLINE

 

Asma Hanim Mahmood

11 April 2019 3:31 PM



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/pertanian/kada-perlu-jadi-peneraju-pembangunan-ekonomi-sosial-dan-pertanian-1.880582#ixzz5l1YuBuh6 
© Utusan Melayu (M) Bhd