PENGURUS BESAR PENGURUS BESAR

   
 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh;

Sebagai salah satu agensi yang menerajui sektor pertanian terutama dalam industri padi, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memikul tanggungjawab yang besar dalam memastikan bekalan makanan negara untuk keperluan negara mencukupi.

Untuk mencapai sasaran tersebut, besarlah harapan saya agar kita semua dapat menggembleng tenaga dan bekerjasama menaikkan imej KADA bagi memastikan amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan sehabis baik terutama dalam mengharungi cabaran semasa.

Usaha yang berterusan perlu bagi membangunkan sektor pengeluaran makanan negara agar ia lebih berdaya saing dan mampu menyumbang kepada peningkatan pendapatan Negara dan mengurangkan kebergantungan kepada makanan luar  negara.

Sehubungan itu, kementerian juga telah melaksanakan pelbagai usaha bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi  dan kesejahteraan hidup rakyat terutama golongan sasar namun ianya tidak bererti sekiranya kita gagal untuk meneruskan kesinambungan usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.  

Langkah kerajaan mentransformasikan sektor pertanian perlu dipandang serius kerana ia merupakan satu cabaran yang besar. Lebih-lebih lagi ia melibatkan perubahan dari segi pendekatan, amalan  dan penggunaan teknologi moden dalam bidang pertanian.

Masyarakat juga perlu diberikan input yang menyeluruh agar perubahan yang dibawa ini dapat diterima dengan baik. Pandangan bidang pertanian adalah satu bidang yang tidak popular, pulangan yang tidak setimpal dan hanya untuk golongan yang tidak berpendidikan perlu dikikis.

Saya yakin dengan sokongan yang padu daripada semua pihak dan kerjasama daripada seluruh kakitangan KADA untuk bersama-sama saya dalam menjayakan setiap visi dan misi KADA dalam membantu petani,peternak, peladang dan usahawan di kawasan KADA meningkatkan hasil pertanian dan produk industri asas tani.

Kejayaan meningkatkan hasil pertanian dan produk industri asas tani serta pendapatan golongan sasar terutama petani akan menjadi kayu pengukur kepada usaha kita dan sama-sama kita membina KADA Baru, KADA Produktif dan Berjaya.

Tn. Hj. Mohd Ridzuan b. Ismail

Pengurus Besar KADA